Mari Belajar dan Terus Belajar, Membenahi Diri
65 hari 16 jam 10 menit 45 detik
Menuju Awal Puasa Ramadhan 2027

8 Februari 2027

Jumat, 05 Juni 2026

TASAWUF DAN TAREKAT BUKAN PERJALANAN KAKI, TETAPI PERJALANAN HATI

TASAWUF DAN TAREKAT BUKAN PERJALANAN KAKI, TETAPI PERJALANAN HATI



Kita semua sibuk berjalan ke sana sini dengan jasad, tetapi jarang berjalan masuk ke dalam diri sendiri.

Sedangkan Allah memandang hati, bukan rupa dan jasad semata-mata.

Menurut para ulama tasawuf,
Hati manusia ada beberapa lapisan. Lapisan yang paling luar dekat dengan dunia dan nafsu, manakala lapisan yang paling dalam ialah tempat tersimpannya rahsia ketuhanan yang disebut sebagai sirr, ana, atau ruh qudsi mengikut istilah para masyaikh.

Sebab itu perjalanan tasawuf bukan sekadar menambah ilmu di kepala, tetapi membersihkan hati sedikit demi sedikit.

Daripada:
1. Nafs Ammarah (suka mengikut hawa nafsu),
2. Kepada Lawwamah (mula menyesal bila buat dosa),
3. Kepada Mulhamah (mula mendapat ilham kebaikan),
4. Kepada Mutmainnah (jiwa yang tenang),
5. Ssehingga mencapai maqam yang lebih tinggi.

Semakin hati bersih, semakin terbuka hijab yang menutupi hubungan hamba dengan Allah.

Kenapa tasawuf menumpukan kepada hati?

Kerana dalam hati terdapat asal-usul perjalanan ruh manusia.

Sebelum datang ke dunia, ruh telah menerima pengenalan daripada Allah sebagaimana firman-Nya:

"Alastu birabbikum?"
Bukankah Aku Tuhan kamu?

Ruh menjawab:
"Balaa" (Bahkan, Engkaulah Tuhan kami).

Apabila ruh masuk ke alam dunia dan bersatu dengan jasad, manusia mula disibukkan dengan dunia, nafsu, syahwat dan kelalaian sehingga pengenalan asal itu menjadi terlindung.

Maka tujuan tasawuf bukan mencipta Tuhan yang baru untuk dikenali, tetapi menghidupkan kembali kesedaran hati terhadap Tuhan yang sebenarnya telah dikenal oleh ruh sejak awal lagi.

Sebab itu para sufi menyebut:

"Awwaluddin ma'rifatullah"
Permulaan agama ialah mengenal Allah.

Dan jalan untuk mengenal Allah itu ialah dengan membersihkan hati daripada segala yang menghalang cahaya makrifat.

Di sinilah peranan tarekat.

Tarekat ialah kaedah amali untuk membersihkan hati melalui zikir, mujahadah, taubat, adab, bimbingan mursyid dan latihan rohani yang berterusan.

Jadi, ringkasnya:

Syariat mengajar kita apa yang perlu dibuat.

Tarekat mengajar bagaimana membersihkan hati ketika melakukannya.

Hakikat ialah apabila hati mula merasai kehadiran Allah.

Makrifat ialah pengenalan yang mendalam kepada Allah hasil daripada hati yang telah bersih.

Maka tujuan akhir tasawuf dan tarekat bukanlah mencari karamah, bukan mencari kelebihan luar biasa, tetapi membawa hati kembali kepada Allah sehingga ruh yang datang daripada-Nya kembali mengenal-Nya dengan sebenar-benar pengenalan.

Wallaahu a‘lam bishshowab... 
Semoga bermanfaat Aamiin Yaa Rabbal 'aalamiin...

Tidak ada komentar:

Posting Komentar